USAHAWAN TEMPATAN KATA LA PROMENADE MALL BAGUS UNTUK PERNIAGAAN

KUCHING: Sejak Hock Seng Lee (HSL) membuka peluang sewaan di La Promenade Mall, usahawan-usahawan tempatan telah mempamerkan reaksi mereka yang positif kepada berita tersebut.

HSL menggunakan pendekatan ”Sokong Tempatan”, yang memberikan keutamaan kepada perniagaan di Sarawak di pusat membeli-belah tersebut, yang merupakan sebahagian daripada pembangunan utamanya yang seluas 200 ekar.

Kumpulan penyewa pertama di pusat membeli-belah ini termasuk jenama-jenama tempatan yang sudah membuktikan diri seperti Choice Supermarket, Taka Patisserie dan Black Bean Coffee and Tea. Ini merupakan jenama-jenama Sarawak yang sudah menjalankan perniagaan selama lebih 20 tahun.

Taka, contohnya, merupakan gedung kek utama di negeri ini. Ditubuhkan pada 1986 dengan hanya sebuah outlet kecil di Jalan Satok, Taka kini mempunyai hampir 20 buah outlet. Pasukan profesional bakerinya terdiri daripada mereka yang berasal dari Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Kuala Lumpur.

“Di Taka, kami percaya kepada semangat ‘Sarawak Boleh’. Kami percaya anak-anak Sarawak merupakan antara yang paling rajin bekerja dan inovatif di rantau ini. Kita boleh menjadi sebagus sesiapa pun apabila kita menumpukan minda kita kepadanya,” kata pengasas Taka, Leong Kia Chun.

Choice Supermarket pula merupakan nama yang dipercayai dalam senario peruncit perdana di Sarawak yang akan berkembang ke La Promenade.

Turut mengambil bahagian adalah Black Bean Coffee & Tea, yang bermula sebagai pembakar kopi di Lebuh Carpenter dengan hanya sebuah bar kecil dan tiga buah meja sahaja. Baru-baru ini, ia telah disenaraikan sebagai “salah satu pengalaman kopi terbaik di dunia” oleh The Lonely Planet Guide.

Hock King Authentic Chicken Rice pula membuka outletnya yang ke-13 di La Promenade. Pemiliknya, Nicholas Choong, merupakan antara yang terawal menandatangani perjanjian sewaan di La Promenade Mall.

“Saya hanya mengambil masa sehari sahaja untuk membuat keputusan itu. HSL menawarkan kepada saya satu tawaran yang baik bagi sebuah lot yang besar di tingkat bawah. Ini akan menjadi restoran lengkap pertama Hock King dalam sebuah pusat membeli-belah. Saya begitu bangga sekali,” kata Choong.

HSL turut menyantuni para usahawan yang muda dan terbukti untuk menyertai pusat membeli-belahnya ini. Pengasas NOMS – adik beradik Ardeles dan Avertino Phua, dan rakan mereka, Kelvin Chong – akan membuka restoran pertama mereka di dalam pusat membeli-belah.

“Ia merupakan satu proses yang memakan masa hampir setahun bagi kami. Para pengurus kanan HSL merupakan pelanggan NOMS yang tetap sejak sekian lama. Pada tahun lepas, mereka memberitahu kami tentang peluang ini. Kami mahu melakukannya dengan segera, tetapi ia memerlukan banyak perancangan yang mendalam dan perbincangan kebolehlaksanaan yang teliti untuk memeterai perjanjian,” kata Avertino.

Rice King, sebuah francais masakan Taiwan baharu yang berpangkalan di negeri ini, akan dibuka di La Promenade. Pemiliknya, Peter Chieng, berkata beliau mengembangkan perniagaan ke La Promenade kerana lokasi dan landskapnya yang strategik.

“La Promenade Mall terletak dengan kemas di bahagian tengah antara Kuching dan Samarahan. Kedua-duanya merupakan kawasan pertumbuhan. Saya kagum dengan landskapnya, yang merupakan nilai tambah kepada mana-mana penyewa pusat membeli-belah, terutamanya bagi kedai makan,” kata Chieng.

Satu lagi penyewa besar adalah Sweat Factory, sebuah pusat kecergasan baharu, yang akan menduduki sebuah lot besar seluas 6,500 kaki persegi di tingkat keempat pusat membeli-belah ini.

HSL sedang mengadakan perbincangan dengan usahawan tempatan lain sementara pusat membeli-belah ini bersiap sedia untuk pembukaan.

“Ini termasuk sebuah galeri seni untuk memaparkan karya-karya para seniman Sarawak, dan kedai makan lain.

“Kita juga akan mengumumkan syarikat telekomunikasi, sebuah pusat muzik dan lain-lain. HSL merupakan sebuah syarikat Sarawak, dan kami dengan bangganya menyokong perniagaan tempatan lain. Terdapat semangat ‘kita boleh’ di kalangan warga Sarawak. Kita menyahut cabaran secara strategik dan kita selalunya berjaya,” kata pengurus sewaan di pusat membeli-belah ini, Trish Lui.

“Secara peribadi, saya juga amat bangga kerana HSL telah menawarkan sewaan khas kepada badan kebajikan. Badan kebajikan hanya perlu membayar utiliti sahaja dan HSL malah menaja perabot. Badan kebajikan ini terletak di tingkat empat dan akan berada di dalam senarai Tanggungjawab Sosial Korporat kami,” tambahnya.

Untuk maklumat terkini, sila layari hsl.com.my dan lapromenademall.com.my.

Perniagaan-perniagaan Sarawak di La Promenade Mall milik HSL.

Choice Supermarket adalah penyewa pertama dan terbesar dengan keluasan 9,774 kaki persegi di aras bawah.

La Promenade Mall terletak di lokasi yang strategik di bahagian tengah antara Kuching dan Samarahan, di mana kedua-dua bahagian merupakan kawasan-kawasan pertumbuhan yang tinggi. 

Logo La Promenade Mall.

Noms, restoran burger terkenal Kuching antara penyewa yang bakal membuka outlet ketiga mereka di La Promenade Mall.